• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Jambatan Angkat Beroperasi Dalam Tempoh Setahun Dari Sekarang

Menteri Besar bergambar dengan pegawai dan kakitangan Bahagian Arkitek Jabatan Kerja Raya yang memenangi gerai tercantik dalam pertandingan antara agensi sempena Majlis Hari Raya Wisma Negeri. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail 


Mercu tanda negeri, jambatan angkat (drawbridge) yang menghubungkan muara selatan di pusat Bandar Raya Kuala Terengganu dengan muara utara di Seberang Takir dijangka siap dan dibuka untuk kegunaan umum dalam tempoh setahun dari sekarang.

Menteri Besar,  Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan  jambatan ikonik pertama di Asia Tenggara yang dibangunkan oleh kerajaan terdahulu  menerusi Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER)  itu diteruskan seperti biasa.

“Jambatan angkat masih dalam pembinaan dan ada beberapa isu berbangkit mengenai projek itu kerana sedikit sebanyak mengganggu pergerakan kapal yang terpaksa mengambil penumpang pekerja  di pelantar minyak. Bagaimanapun, ia sudahpun dibincang dan pada masa ini ia berjaya diselesaikan.

“InsyaAllah dalam tempoh setahun menara jambatan angkat akan dapat disiapkan sebelum beroperasi,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi Majlis Hari Raya Aidilfitri di Wisma Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. 

Turut hadir, isteri beliau, Tuan Faezah Tuan Ab. Rahman. Hadir sama, ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan di wisma berkenaan.




Projek sepanjang 638 meter mampu menyuraikan aliran trafik di Jambatan Sultan Mahmud, selain menjadi mercu tanda ikonik yang dapat menarik minat lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Terengganu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai cadangan pembinaan Universiti al-Quran oleh kerajaan negeri sebelum ini, beliau memberitahu kerajaan negeri juga akan meneliti semula perkara itu sebelum sebarang keputusan diambil dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Terengganu sebelum ini menawarkan tapak bagi penubuhan sebuah Universiti al-Quran sebagaimana terkandung di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan (mantan) Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.


Difahamkan Kerajaan BN ketika itu telah membeli Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di Kuala Berang, Hulu Terengganu melibatkan kos RM30 juta untuk dijadikan kampus tetap universiti berkenaan.


Tambah beliau lagi, dalam tempoh baru sebulan setengah kerajaan pimpinan PAS mengambil alih pentadbiran negeri, banyak perkara termasuk projek pembangunan yang perlu dikaji semula sebelum diteruskan dengan mengambil kira beberapa syarat iaitu tidak membebankan kewangan kerajaan, memberi kesan yang baik kepada masyarakat sekitar serta menguntungkan kerajaan negeri terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi.



Menteri Besar  turut mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kepimpinan kerajaan masa kini akan kekal  memberi komitmen dan meneruskan semua projek yang dibangunkan oleh kerajaan terdahulu, sekiranya ia mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagaimanapun, yang mana (projek)  tidak beri limpahan ekonomi kepada rakyat, ianya akan ditambah baik semula supaya dapat memberi kesan secara langsung terutama kepada kemajuan ekonomi setempat.

“Bukan sahaja Zoo Kemaman yang sempat saya kunjungi beberapa hari lepas akan diperbaiki dan ditambah baik aktivitinya supaya memberi manfaat kepada ekonomi penduduk sekitar, malah ini juga kita tekankan kepada semua projek lain,"katanya.


Tag: