• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jambatan Baharu Kampung Kuala Por Bakal Dibina

Oleh : Hanif Hamdan dan Mohd Adli

HULU TERENGGANU, 2 Mac - Jambatan baharu dengan peruntukan RM7 juta yang menghubungkan Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering bakal dibina dalam masa dua bulan lagi bagi menggantikan jalan yang runtuh akibat mendapan pada akhir tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata kerja-kerja awal pembinaan jambatan boleh dilakukan sebaik sahaja 'soil investigation' selesai.

"Jambatan yang bakal dibina ini sejauh 40 meter dan selebar 11 meter. Ketinggiannya dari aras air 7 meter pada masa air pasang dan kita anggar harganya dalam RM7 juta.

"Jentera untuk melakukan 'Soil Investigation' sudah sampai hari ini dan kerja-kerja telah dimulakan yang mana proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari," ujarnya  ketika mengadakan lawatan ke tapak jambatan di Kampung Kuala Por pada pagi tadi.

Tambahnya, apabila selesai proses tersebut, ia akan diberikan kepada 'consultant' untuk membina jambatan baharu dalam masa sekitar satu bulan setengah.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, beberapa alternatif untuk penyelesaian sementara bagi memudahkan pengguna jalan raya tersebut telah difikirkan namun beberapa faktor tertentu perlu diambil kira bagi menjaga keselamatan bersama.

''Kita ada jalan raya daripada Kuala Berang ke Kampung Dusun melalui jambatan di Kuala Pueh, tetapi jarak perjalanan lebih panjang daripada biasa.

"Satu lagi kita ada jalan yang tidak didaftarkan ataupun tidak digazet melalui tanah-tanah kebun milik orang kampung tetapi agak bahaya kepada pengguna kerana sempit, berselekoh dan ada kawasan yang apabila hujan berlaku takungan air serta licin," katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan ADUN Kijal, Ahmad Said.

Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Dr Mamad telah melakukan tinjauan ke kawasan terbabit dan mengarahkan agar tindakan segera diambil.

Pelantikan konsultant untuk kerja pembinaan telah dibuat pada 2 Februari baru-baru ini.