• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Jambatan Rezeki ' Runtuh Akibat Banjir

DUNGUN, 29 Januari- 'Jambatan Rezeki' begitulah perumpamaan kepada sebuah jambatan yang telah mengalami kerosakan dan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Seorang penduduk di Kuala Jengai, Kamarodiah Abdul Wahab, 56, yang sering menggunakan laluan tersebut untuk keluar berniaga bagi meneruskan kelansungan hidup begitu terkesan dengan kerosakan tersebut.

Dia yang berniaga makanan untuk sarapan pada waktu pagi di salah sebuah kedai di sini sangat mengharapkan jambatan atau jalan yang lebih elok dan selamat dapat segera diganti.

"Setiap kali banjir, jambatan ini akan rosak dan runtuh jadi terpaksa lalui juga dan terpaksa bergadai nyawa kerana inilah jalan yang saya termasuk empat buah keluarga lagi sering gunakan bagi menjalani rutin harian.

"Jambatan ini menjadi laluan untuk saya mencari rezeki, memandangkan jalan ini mudah dan dekat untuk saya sampai ke jalan besar.

"Saya ambil insiatif untuk membaikinya sendiri setiap kali ia mengalami kerosakan. Banyak jugalah duit dihabiskan untuk membeli kayu dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, kelmarin. 

Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan berusaha menyelesaikan kesulitan yang dihadapi penduduk berkenaan.

"Memandangkan jambatan ini tidak lagi selamat digunakan dan boleh mendatangkan bahaya. Maka kita akan mengangkat permohonan bagi menggunakan peruntukan daripada pejabat daerah untuk mengadakan infrastruktur jalan baru yang lebih baik dan selamat di atas tanah rezab kerajaan," ujarnya.

Beliau berharap agar penyelesaian masalah berkenaan akan mampu memberi kesejahteraan kepada penduduk di sini.


Tag: