• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jang Bawa 'Aura' Korea Selatan Perkuat THT

KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun kembali memperkuatkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.

Kali ini, kehadiran Jang turut diiringi dua rakan senegaranya, Choi Hoil serta Yoo Seung Ho yang sah menjadi keluarga baharu THT.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun memaklumkan, selain trio Korea Selatan itu, THT juga berjaya 'menambat' khidmat kapten skuad kebangsaan Piala Dunia 2023, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan tiga pemain skuad Speedy Tigers iaitu Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

"THT beraksi dalam saingan msuim ini untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala Liga selain Piala TNB yang terlepas musim lalu.

"Selain pemain muda yang menjadi aset pasukan, bekas kapten kebangsaan iaitu Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor, Ismail Abu, Fitri Saari dan penyerang muda berbakat negara, Mohamad Akhimullah Anuar Essok akan turut ada dalam senarai skuad kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi, Penaja serta Memperkenalkan Pemain THT dan TLHT di Hotel Permai, semalam.

Fikri menambah, THT juga melantik jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho yang akan dibantu jurulatih tempatan, Mohd Harfizi Baharom yang bertindak selaku jurulatih penjaga gol.

"Seo pernah bersama THT ketika menjadi pembantu Dharma Raj Abdullah sebelum ini," katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut mengumumkan penajaan sebanyak RM2.5 juta kepada PHNT.

"Kerajaan negeri telahpun menambah penajaan sebanyak RM500,000 menjadikan keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta untuk pasukan terutama dalam memperkasakan program pembangunan melalui Akademi Hoki Terengganu (AHT) yang ditubuhkan hari ini.

"Kita harap suntikan kewangan ini akan membantu perkembangan sukan hoki di negeri Terengganu," katanya.

 

 


Tag: