• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Jangan Ambil Mudah Anak Enggan Ke Sekolah

DUNGUN, 4 Oktober - Ibu bapa dinasihatkan tidak mengambil mudah apabila anak-anak enggan hadir ke sekolah tanpa sebarang sebab dan alasan munasabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menegur sikap ibu bapa yang 'tidak kisah' jika anak-anak malas ke sekolah kerana perkara itu boleh menjejaskan masa depan mereka.

"Ia wajar diberi perhatian oleh ibu bapa dan penjaga, kecualilah jika keluarga dan anak-anak ini mempunyai masalah lain melibatkan kesihatan seperti COVID-19 yang melanda negara ketika ini, masalah itu boleh diterima sebagai alasan yang wajar dan kita akan membantu mencari jalan.

"Kalau mereka tidak berminat untuk belajar, ibu bapa  boleh memohon bidang kemahiran yang mereka minati, ini dapat membantu mereka menggunakan kemahiran untuk masa depan mereka," katanya.

Alias berkata demikian ketika menyertai ziarah 'mobile team' yang terdiri daripada wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rantau Abang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) di sini baru-baru ini.

Alias turut melahirkan kebimbangannya kerana sikap segelintir pelajar 'ikut kawan' tanpa berfikir baik buruk menyebabkan mereka akan mudah terjebak ke kancah tidak sihat. 

"Saya harap ibu, bapa tidak bersikap lepas tangan jika mempunyai anak-anak sedemikian, tindakan segera dapat menyelamatkan mereka agar mereka juga berjaya di dalam hidup," ujarnya.


Tag: