• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jangan Ambil Mudah Tempoh Dua Minggu PKPB

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Rakyat Terengganu diminta tidak mengambil mudah tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kerjasama dan sokongan orang ramai amat diharapkan sepanjang tempoh dua minggu yang getir ini bagi mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, di Terengganu ada seramai 197 pesakit sedang dirawat supaya semua sembuh tanpa ada komplikasi termasuk 400 orang yang sedang dikuarantin yang perlu dibuat pengawasan sepenuhnya.

"Kita hanya ada masa dua minggu sahaja untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19. 

"Dalam masa dua minggu ini biarkan kami bekerja dengan tenang walaupun sebenarnya tak sebab kes meningkat mendadak yang Dungun dan Kuala Terengganu sudah jadi zon merah dan kluster aktif sahaja sudah 19," katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasminya, malam ini.

Dalam kenyataan itu, Nor Azimi juga berkata pihaknya telah berjaya mengesan hampir 800 kontak rapat.

"Kini masih giat mengesan yang lain yang mana mereka ini mungkin satu pejabat atau satu rumah dengan anda. 

"Jangan 'underestimate' kebolehjangkitan COVID-19,"ujarnya lagi.

Justeru itu katanya, dalam masa dua minggu ini, semua orang perlu duduk di rumah jika tiada keperluan penting untuk keluar untuk bantu putuskan rantaian wabak pandemik tersebut.

"Jika tidak mungkin kena sambung lagi. sampai bila berterusan begini kerana ia tak baik untuk semua orang. 

"Kita mesti sama-sama berusaha untuk keluar dengan selamat," tambah beliau.


Tag: