• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

`Jangan Beritahu Saya Isteri Menteri Besar' - MB



“Pesanan saya kepada beliau supaya pergi (Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu) sebagai rakyat dan jangan pergi beritahu saya isteri Menteri Besar, tentulah mendapat layan `first class’. Pergi sebagai rakyat biasa dan daripada situ barulah kita faham dan merasai sendiri susah atau senang, bagus atau tidak sesuatu perkhidmatan berkait konsep mesra pelanggan itu,” kata Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ucap Negeri Terengganu Tahun 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ A. Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim.

Menteri Besar berucap di Majlis Ucap Negeri Terengganu Tahun 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Haris Fadzillah Abu Kassim
Menteri Besar mengulas demikian ketika ditanya berkenaan isu status yang dimuat naik di laman facebook rasmi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkenaan penjawat awam yang dikatakan kurang budi bahasa ketika melayani isteri beliau, Tuan Faezah Tuan Ab Rahman ketika berurusan pertukaran sekolah anak mereka, di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, semalam.

Status itu  mendapat lebih 2,000 `likes' dalam tempoh dua jam sebaik sahaja dimuat naik. Sehingga jam 1 petang ini, ia turut mendapat 1,999 perkongsian dan lebih 12,000 likes.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, beliau memuat naik isu itu hanyalah sebagai sentuhan rasa dan suatu peringatan supaya semua pihak terutama penjawat awam di barisan hadapan memperbaiki budaya kerja sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tanpa mengira latar belakang.

“Perkara ini sudah sudah diselesaikan secara baik dan semua pihak berlapang dada, saya juga tidak simpan dalam hati..yang berkenaan juga tidak menyimpan dalam hati dan kita perlu bergerak ke hadapan dan saya percaya mungkin kadang-kadang berlaku dalam keadaan stress secara tidak sengaja, maklumkan kaunter servis berhadapan dengan bermacam-macam orang dan pelbagai latar belakang.

“Tetapi kita perlu sentiasa menjaga profesional kerana  rakyatlah yang menilai prestasi perkhidmatan  kerajaan,”kata beliau lagi.

Beliau juga meminta supaya SUK mengambil tindakan sepatutnya bagi membaik pulih imej dan perkhidmatan agensi serta jabatan kerajaan negeri tanpa ada pegawai dan kakitangan awam negeri yang mengamalkan sikap pilih kasih kepada pelanggan yang datang berurusan.


“Perkara ini sedang diambil perjalanan oleh Dato’ SUK (A. Rahman Yahya) yang menjaga perjalanan pentadiran kerajaan. Kita menekankan secara berterusan bahawa kaunter servis umpamanya tidak boleh double standard, semua pihak termasuk rakyat yang datang berkenaan compang camping sekalipun, mereka juga perlu dilayan sama rata sebagai pengguna.

“Kita lihat negara maju, kalau tuan-tuan ke England, Amerika atau Europe, mereka boleh panggil pakcik dalam keadaan `homeless’itu sebagai `sayang, love, darling '..ketika mendapat khidmat, kenapa kita (penjawat awam) tidak boleh melalukan perkara yang sama kepada rakyat kita?

"Jadi, inilah antara kaunter servis yang saya menghantar peringatan kepada semua supaya semua perlu ada perubahan `mindset’ dan profesionalisme,”katanya.



Tag: