• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Jangan Biar Sejarah Aidilfitri Berulang Kembali'

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - "Tak perlu tuding jari salahkan sesiapa. Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salahkan orang lain atau salahkan pihak lain," ujar Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Menurutnya, beliau berharap orang ramai menangguh seketika keinginan untuk pulang atau melakukan rentas negeri di saat varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu.

"Kekuatan jangkitan sangat luar biasa.Walaupun ada yang mempunyai pertahanan diri yang kuat tapi jangan lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin akan mendapat komplikasi serius.

"Sungguh hati kalian tidak berbekas dengan angka kes harian atau angka kematian yang meningkat setiap hari.

"Tidak serik kah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri yang lalu. Dipesan-pesan untuk tangguh rentas negeri bagi mengelakkan penularan lagi besar. Tapi tidak berkesan...kerasnya hati kalian dan akhirnya kes mencanak naik," rintihnya.

Beliau berkata demikian di laman facebook rasminya setelah melihat situasi terkini apabila orang ramai berduyun duyun disyaki merentas negeri pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha selasa ini.

Kata Dr Nor Azimi lagi, mereka sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak dan membawa virus bersama untuk disebarkan di kawasan baru. 

Tambah beliau lagi, jika dahulu Terengganu berjaya kekalkan angka harian hanya dua digit selama tiga minggu tetapi ia musnah angkara lapan kluster baharu dikesan dalam masa dua minggu sahaja.

"Semuanya gara-gara rentas negeri dan akhirnya bilangan kes baru meningkat.  Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini?

"Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat siat melihat perkara itu masih berlaku," ujarnya.

Justeru itu, Nor Azimi menggesa orang ramai untuk berfikir dan bertindak bijak untuk sama-sama lindungi diri sendiri dan juga orang lain dan biarkan 'nasi sudah menjadi bubur' bila ada ahli keluarga menjadi korban COVID 19.