• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Jangan Hina, Kami Cuma Mahu Bina Hidup'

PETALING JAYA, 15 Januari - Anak-anak Terengganu yang bekerja di Panasonic memuji kerajaan negeri kerana telah melaksanakan kerjasama dengan syarikat berkenaan sehingga mampu mengubah nasib hidup mereka melalui tawaran peluang kerja. 

Hazahar Zulkefli, 33, menyifatkan peluang melalui Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Terengganu oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) merupakan satu keperluan cukup mendesak ketika ini.

Katanya, melalui usaha itu kerajaan negeri telah membantu banyak perkara antaranya kos ke Selangor, penginapan dan pengangkutan yang disediakan secara percuma melalui persefahaman dengan syarikat.

"Kami hanya datang dan bekerja sahaja di sini, tidak lebih daripada itu, ini hakikat yang perlu diketahui umum sebelum membuat apa-apa kenyataan.

“Saya kehilangan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kerajaan negeri telah menawarkan pakej yang sangat bagus untuk saya rebut.

“Perkara ini dah kurangkan bebanan saya dan saya datang dengan azam membina semula kehidupan untuk bekeluarga dan memiliki pendapatan seperti orang biasa,” katanya ketika ditemui di asrama pekerja PAPAMY, di sini semalam.

Nurkhuzaini selaku exco bertanggungjawab, sering turun padang memantau keperluan anak-anak perantauan yang baru membina semula kerjaya mereka.

Jelas anak kelahiran Besut itu, mungkin orang memandang remeh kerja di kilang tetapi hanya individu yang merasainya akan bersyukur dengan peluang itu.

“Bagi saya, gaji di sini memuaskan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, tanpa pakej ini pun saya sanggup datang bekerja daripada duduk sahaja di rumah.

“Sekarang, dengan pendapatan bulanan sebanyak kira-kira RM2,900 sebulan, saya turut dapat hantar wang kepada keluarga,” katanya.

Imran (berbaju biru) dan Ahmad Rahimi selesa dengan kerjaya, mahu bina pengalaman dan modal untuk masa depan.

Sementara itu, Mohd Imran Ismail, 30, yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, pada awalnya dia datang untuk mendapatkan modal sebelum membina kerjaya baharu di kampung.

“Saya ingin cari modal asalnya, tetapi jika boleh saya ingin kerja lebih lama di sini. Kami semua masuk sebagai operator, tetapi baru-baru ini ada rakan yang berkelulusan ijazah sudah ditawarkan ke posisi lebih tinggi oleh pihak syarikat.

“Sebelum ini saya skeptikal juga dengan kerja kilang, tetapi apabila sudah datang ke sini saya dapati ia selesa tambahan pula kilang dari Jepun ini yang mengamalkan budaya kerja yang baik.

“Sebenarnya, di mana-mana boleh sahaja asalkan ada peluang kerjaya yang stabil. Jika saya bekerja di Terengganu, saya kurang peluang untuk menambah kewangan berbanding di sini boleh kerja lebih masa dan buat banyak sedikit wang selain karier boleh berkembang dalam syarikat,” katanya.

Perkara tersebut turut dipersetujui anak kelahiran Bukit Besi, Dungun, Ahmad Rahimi Izzuddin Mohd Asri, 29 tahun.

Dia datang bekerja untuk membina kewangan stabil sambil menimba pengalaman sebelum mendapat tawaran lebih baik.

“Tiada masalah untuk bekerja di luar Terengganu asalkan ada kerja sahaja, kerana di sini lebih stabil ditambah dengan penginapan dan pengangkutan juga disediakan, jadi kami lebih selesa.

“Memang bagus dekat dengan keluarga kerana kita boleh menguruskan keluarga, namun tidak menjadi masalah kerja di luar jika memberi pulangan lebih baik. 

“Buat permulaan, saya sasarkan lima tahun untuk kerja di sini jika tiada tawaran daripada agensi kerajaan,” katanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: