• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jangan Jadi 'Gunting Dalam Lipatan' -Razif




Ghazali berpelukan dengan bekas Adun Ajil, Dato Rosol Wahid pada pertemuan sempena kunjungan Ahmad Razif ke DUN itu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Semua ahli UMNO di negeri ini diminta tidak menjadi 'gunting dalam lipatan' sehingga menggadaikan maruah parti yang melambangkan ketuanan Melayu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sikap buruk segelintir pihak yang suka mengeruhkan keadaan, mengadu-domba dan menghasut pemikiran orang ramai boleh memusnahkan masa depan anak muda serta merosakkan parti UMNO itu sendiri.

"Perjuangan UMNO penuh dengan cabaran dan tohmahan yang tidak akan dan tidak pernah melunturkan semangat perjuangan ahli-ahli UMNO dulu, kini dan selamanya.

"Bagaimanapun, jangan pula ada di kalangan kita menjadi gunting dalam lipatan, mengadu-domba atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan parti UMNO dan masa depan anak muda dengan pelbagai hasutan yang tidak benar,"katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Kepimpinan UMNO Cawangan DUN Ajil sempena Program MB Turun Padang di DUN Ajil di Dewan Sivik, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif sebaliknya mahu supaya semua ahli UMNO supaya bersama-sama dengan jentera parti bersiap- sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14)tidak lama lagi, sekali gus memastikan DUN Ajil dan Terengganu khasnya, kekal milik Barisan Nasional.


Mengulas tindakan beberapa ahli UMNO di negeri ini yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ahmad Razif berkata, tujuan mereka bertindak demikian kerana mahu menjatuhkan kepimpinan UMNO Terengganu pada PRU14 akan datang.

"Sebab itu kepada sesiapa ahli UMNO yang terlibat dengan PPBM di DUN Ajil dan juga di seluruh Terengganu ini, mereka akan diambil tindakan termasuk dipecat dari keahlian dan saya tidak akan teragak-agak untuk melakukannya demi parti UMNO,"katanya lagi.

Tag: