lightning-solid
Berita :
‘Jangan Jadikan Kawasan Presiden PAS Medan Uji Kuasa’
‘Jangan Jadikan Kawasan Presiden PAS Medan Uji Kuasa’
Amirul Mohd
31 Oct 25
55

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan hari ini tampil memberikan penjelasan dalam sesi soal jawab bersama Menteri Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat berhubung isu latihan operasi oleh agensi penguat kuasa di kawasan sensitif, khususnya dalam Parlimen Marang.

Beliau memulakan perbahasan dengan memaklumkan bahawa soalan yang dibangkitkan sebelum ini tidak bermotif jahat, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan yang jelas berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian latihan oleh jabatan penguatkuasaan kerajaan di bawah KDN.

“Saya faham dan ucap terima kasih kepada YB Menteri atas penjelasan yang tuntas. Tujuan saya hanya untuk elak kekeliruan dan salah faham, bukan menyalahkan mana-mana pihak,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata latihan oleh agensi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan Parlimen Marang, yang juga merupakan kawasan Presiden PAS dilihat menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat dan perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan salah tafsir.

“Apabila perkara ini berlaku di kawasan yang agak sensitif seperti Marang, ia perlu diurus dengan lebih teliti bagi mengelak tanggapan yang salah. Tujuan kami hanya untuk memastikan ketelusan dan keharmonian antara rakyat dan agensi kerajaan,”tambahnya.

Dato’ Takiyuddin turut menegaskan bahawa beliau menghormati semua pasukan keselamatan dan tidak mempertikaikan kewibawaan mereka. Namun, katanya, sebarang operasi atau latihan perlu dijalankan dengan maklumat yang jelas dan koordinasi yang baik antara agensi berkaitan.

“Sebagai orang undang-undang, saya tidak ada masalah dengan sebarang operasi selagi ia mengikut undang-undang. Tapi perlu ada pemberitahuan awal untuk elak kekeliruan, lebih-lebih lagi di kawasan yang dianggap sensitif secara politik,” ujarnya.

Beliau menyifatkan perkara tersebut kini selesai dan menganggap ia sebagai satu pengajaran bersama bagi memperbaiki hubungan antara agensi penguat kuasa dan masyarakat.


Tag :

Artikel Berkaitan