• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jangan Kaitkan Mangsa Tragedi Kepala Air Jeram Mawar Dengan Pembalakan - MB

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Jangan kaitkan pekerjaan ketua isi rumah (KIR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman dengan aktiviti pembalakan haram di sekitar kawasan tersebut.

Itu tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkaitan tragedi menyayat hati yang menimpa sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor pada Sabtu lepas.

"Saya rasa tiada kaitan (aktiviti pembalakan sebagai punca tragedi) kerana saya difahamkan ketua keluarga tersebut memang pernah bekerja di kawasan pembalakan.

"Bila kata pembalakan, jangan kata semua haram. Ada yang mendapat lesen yang sah dan sebagainya. Jadi, oleh sebab dia pernah berada di kawasan itu untuk masuk ke dalam kawasan pembalakan dia agak mahir selok belok kawasan tersebut.

"Mungkin dia ambil peluang untuk membawa semua ahli keluarganya berkelah pada waktu itu (ketika cuti hari raya Aidiladha, namun berlaku tragedi kepala air)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi & Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya percaya ketua keluarga tersebut, Karim Abdullah, 39 yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, lapan mangsa telah ditemui sejak hari Ahad lalu. 

Lapan mangsa yang ditemui ialah Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa.

Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemui ialah Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.