• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan

KUALA TERENGGANU, 8 April - Walaupun menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan, namun ia bukan suatu yang mustahil bagi Afzam Mustafa, 41, bagi mewakili daerahnya ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman pada tahun ini.

Qariah yang berasal dari Kertih berkata, kemahirannya dalam taranum diasah sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu dan kini mengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka.

“Kini hampir 10 orang pelajar saya mengajar cara baca bentuk tulisan ini daripada tidak pandai kepada sekarang mampu untuk mengaji, reaksinya orang ramai kagum dan memberi semangat kepada kita.

“Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang mengenali memberi semangat kepada saya untuk mendalami teknik baca braille sehingga kini pertama kali dipilih untuk ke peringkat negeri.

“Sebelum ini sudah banyak menyertai pertandingan sebegini, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Melaka dan diangkat sebagai naib johan," katanya ketika ditemubual pemberita, kelmarin.

Anak keempat daripada 8 orang adik beradik (3 Orang Kurang Upaya penglihatan) menyifatkan kekurangannya bukan penghalang kepada jiwanya untuk menguasai bacaan taranum dan tajwid melalui titik Braille.

“Jadi saya menyeru mereka yang celik terutamanya pada bulan Ramadan ini supaya tadarus dan perbanyakkan bacaan al-Quran.

“Bukan sahaja pada bulan puasa, maknanya jangan kita lari daripada kitab suci ini, kita perlu sentiasa bersama al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi.

Afzam adalah di antara 16 peserta dari seluruh daerah yang menyertai program tersebut selama tiga hari.

Setakat ini, Pusat al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing mempunyai seorang guru.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu turut merancang dalam menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.