• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Jangan Pandang Enteng Isu Hina Nabi


KUALA LUMPUR,  26 Mac - Kerajaan Persekutuan digesa supaya tidak memandang enteng  isu penghinaan nabi dan tidak seharusnya menjadikan Akta Hasutan 1948 sebagai sandaran semata-mata. 

Ahli Parlimen Setiu,  Shaharizukirnain Abdul Kadir meminta agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah supaya ianya menjadi teladan kepada seluruh masyarakat.

"Semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat yang lalu, saya telah menggesa agar pihak kerajaan tidak memandang enteng isu berkenaan. 

"Dan tidak menjadikan Akta Hasutan 1948 hanya sebagai sandaran untuk mengenakan hukuman kepada penghina Nabi Muhammad SAW," jelasnya. 

Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan tidak menjadikan penghapusan hukuman mati mandatori sebagai satu ruang untuk kerajaan menghapuskan hukuman mati keseluruhannya di masa akan datang dan menuntut kerajaan agar kembali kepada hukum qisas sebagai hukuman terbaik yang datang daripada Allah.

Shaharizukirnain berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, di sini semalam. 

Dalam sidang Parlimen itu, beliau juga membangkitkan soal menaik taraf Jambatan Desa Jaya Sungai Tong dan Jambatan Sungai Lerek. 

Jambatan tersebut katanya,  terletak di jalan persekutuan dan disebabkan keadaan jambatan yang sempit telah mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

"Saya juga membangkitkan isu selekoh tajam di sempadan Kuala Nerus-Setiu, di hadapan Balai Polis Kampung Chalok dan juga berhampiran Masjid Sungai Tong. 

"Masalah ini juga telah mengakibatkan kemalangan maut," katanya.

Di samping itu, beliau turut menggesa Kerajaan Pusat menyelesaikan isu guru duka lara secepat mungkin. 

Ini kerana katanya, guru-guru yang berjauhan ini membawa kepada stress, kemurungan dan juga penceraian. 

"Saya telah mengemukakan beberapa kes guru duka lara untuk perhatian dan tindakan menteri berkenaan," ujar beliau. 

Perkara lain yang beliau bangkitkan adalah soal meninggikan kawasan yang selalu ditenggelami  banjir iaitu jalan simpang Bandar Permaisuri ke Hulu Seladang dan Jalan Chalok Kedai ke Gong Terap.

Turut dibangkitkan, inisiatif membina pusat pemindahan banjir di kawasan yang tinggi dan selamat.

Ini kerana katanya,  pusat pemindahan yang sedia ada turut ditenggelami air apabila tiba musim banjir.

Beliau juga menggesa Kerajaan Pusat memastikan peneroka Felda mendapat bekalan baja daripada agensi kerajaan berkaitan, bukannya daripada pembekal luar dengan harga yang jauh lebih mahal.

Shaharizukirnain turut membangkitkan soal menyelesaikan masalah perairan para petani yang turut mengakibatkan kekurangan hasil pertanian.

Dalam masa yang sama, beliau juga membangkitkan soal menaik taraf Pondok Polis Jabi kepada balai polis dan segera menyatakan status pembinaan Balai Polis Alur Lek yang belum diberi jawapan oleh menteri berkenaan. 

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan tidak melantik warden-warden sekolah dari kalangan guru dan elaun yang diperuntukkan langsung tidak berbaloi dengan beban yang ditugaskan.

 "Justeru, saya menuntut agar kerajaan segera mengambil tindakan dengan apa yang telah saya suarakan di parlimen demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin," katanya.

Tag: