• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Orang ramai diseru supaya memberi perhatian yang serius kepada kes keganasan yang berlaku kepada anak-anak perempuan, terutamanya persediaan seksual atau 'sexual grooming'. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, sebanyak 3,308 kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak kerajaan.

Zuraida berkata lagi, hal itu tambah merungsingkan apabila sebanyak 1,291 kes melibatkan penderaan secara seksual iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.

“Apa yang menjadi perhatian saya ialah, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.
 
“Dan kalau dalam kes penderaan seksual pula, tambah memualkan apabila majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki.

“Kita pun sendiri sudah banyak membaca didada-dada akhbar dan di media sosial, bermacam kes. Apa yang pasti, perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa mangsa,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam.

Zuraida turut menyuarakan kebimbingannya mengenai polemik ‘sexual grooming’  terhadap anak-anak yang masih kecil.

“Apabila kita bercakap soal ’sexual grooming’, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa hadapan generasi pewaris negara kita.

“Cuba kita bayangkan, apa kesannya kepada negara kalau mereka membesar nanti, semuanya ber’otak kuning’? Sebab itulah bermula sekarang, masyarakat sudah perlu memainkan peranan masing-masing,”tegasnya.

Sexual grooming menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan khususnya melalui internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual.

Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.