• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Jangan Ragu Untuk Adakan Majlis Bacaan Yasin



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 8 Mac- Anggota masyarakat tidak perlu mempunyai perasaan risau untuk mengadakan majlis bacaan yasin walaupun terjadi perdebatan di kalangan sesetengah pihak yang berpendapat amalan berkenaan tidak dilakukan di zaman Rasulullah dan juga para sahabat.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun, Jamaluddin Jusoh berkata sebaliknya amalan tradisi dilakukan masyarakat itu perlu diteruskan dengan memahami bahawa amalan membaca al-Quran itu diperintah oleh Allah agar beroleh panduan.

“Tidak perlu kita bimbang, teruskan amalan ini. Cuma perbaiki niat kita yang pertama mesti ikhlas, yang kedua jangan kita iktikadkan ini amalan nabi, kerana tiada di zaman nabi majlis hanya khas untuk bacaan Yasin.

“Tetapi memang kita yakin Allah perintah kita supaya baca al-Quran , adakan pertemuan dengan berzikir di rumah Allah, berdoa dan sebagainya memang ada hadis, jadi kita gabungkan semua (galakan) itu maka berlakukan satu pakej namanya Majlis Bacaan Yasin,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai Penceramah Jemputan Majlis Bacaan Yasin dianjurkan Muslimat PAS DUN Bukit Besi dengan Gerakan Penerokawati (GPW) Felda Jerangau, di Masjid Muhajirin Felda Jerangau, baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Penyelia i-MiTS DUN Bukit Besi, Zakiah Alias.

Jamaluddin turut menganjurkan agar mengadakan bacaan al-Quran bermula awal surah sehingga akhir surah melalui majlis seumpama itu agar memperolehi manfaat serta ganjaran yang lebih besar dengan menghayati setiap surah terkandung didalam kitab suci itu.

Sehubungan itu, Zakiah Alias bersyukur dengan Majlis Bacaan Yasin yang diakan itu dimana telah menghimpunkan seluruh wanita tanpa berbeza parti.

“Dimana kita telah pun membaca al-Quran secara bersama-sama serta telah pun mendengar pesanan dan tazkirah yang disampaikan agar memberi kesan kedalam jiwa untuk bersungguh-sungguh dengan ajaran Islam.

“Insya-Allah majlis seumpama ini akan kita teruskan dengan melakukan penambahbaikan dengan harapan mengeratkan ukhwah diantara satu sama lain, agar kesedaran bahawa setiap mukmin itu bersaudara akan tersemat kukuh menjadi tunjang perpaduan didalam masyarakat,” ujarnya.


Tag: