• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Jangan Sambut Hari Kekasih

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Umat Islam dilarang menyambut hari kekasih kerana berpotensi mendorong diri ke arah kemungkaran.

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, tidak salah meraikan pasangan namun hendaklah tidak melebihi batas dan sesuai dengan tuntutan syarak.

Katanya, dikhuatiri akan menjerumuskan kepada pergaulan bebas, seperti berhubungan intim atau seks sebelum menikah.

“Kita sebagai seorang muslim hendaklah meletakkan Allah S.W.T sebagai paksi utama dalam kehidupan.

"Kebanyakan pasangan yang meraikan hari kekasih melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman Tingkat 1, Pejabat Mufti Kuala Terengganu di sini hari ini.

Tambah Prof Sabri, Islam melarang keras umatnya meniru atau menyerupai cara serta budaya hidup orang bukan Islam termasuklah mana-mana perayaan.

“Sambutan aktiviti hari kekasih secara berdua-duaan ataupun berkumpulan yang bukan mahram boleh menjurus kepada perbuatan maksiat yang lain,” ujarnya.

Di samping, tidak boleh taksub kepada perkara seumpama ini sehingga boleh menyebabkan berlaku kemungkaran terhadap Allah S.W.T.

“Menurut hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.

“Dalam hadis lain, sesiapa yang meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut," katanya.

Sementara itu, sejarah hari kekasih diingati sempena kisah pencintaan seorang paderi yang bernama Santo Valentine yang dihukum pancung pada 14 Februari 269.

Beliau berkata, kisah pencintaannya itu yang dianggap sebagai melawan peraturan kerajaan telah dinobatkan sebagai pahlawan kasih sayang ketika itu.

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada amalan tersebut kerana dibimbangi perangkap syaitan yang boleh mendatangkan malapetaka kepada masyarakat kita.

 

 

Tag: