• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jangan Sesekali Bersekongkol Dengan Nelayan Asing! - APMM Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu memberi amaran keras kepada mana-mana pengusaha dan nelayan tempatan yang cuba bersekongkol dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara khususnya di negeri itu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menyuarakan amaran tersebut berikutan penangkapan empat lagi bot nelayan Vietnam oleh kapal maritim KM Langkawi dan KM Gemia dalam OP IMAN, tiga hari lalu.

“Sekiranya kita kenal pasti ada nelayan tempatan memberi atau pajak lesen kepada nelayan asing, kita akan dakwa mereka untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah kenal pasti antara modus operandi terbaru nelayan Vietnam dan pengusaha yang mempunyai lesen cuba memberi pakai nombor pendaftaran tempatan untuk mereka tangkap ikan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu, di sini, semalam.

Jelasnya, pihak APMM akan mendalami siasatan dan membongkar taktik terbaru pihak berkenaan.

“Pihak kita juga mendapati ada lesen-lesen nelayan tempatan dipajak ke negara Vietnam untuk setahun yang mana nilainya tidak kurang daripada RM200,000 bagi satu lesen.

“Itu yang kita percaya merupakan modus operandi yang mudah untuk mengaut keuntungan dan tidak mustahil satu nombor pendaftaran akan digunakan untuk beberapa bot,” tambahnya yang percaya ia didalangi sindiket kerana terdapat banyak nombor yang berdaftar.

APMM juga memaklumkan akan meneruskan lagi OP IMAN dan mungkin akan ada tangkapan terbaharu dari pihak mereka.

Terdahulu, empat bot yang ditahan di lokasi 118 batu-123 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu 3 Julai lalu, mempunyai nombor badan bot tempatan yang apabila diselidiki didapati menyamar sebagai nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Seramai 47 kru bot ditahan berumur antara 17 hingga 57 tahun melibatkan hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhannya bernilai RM4.5 juta.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua kru tidak memiliki dokumen sah kecuali empat kru sahaja memiliki passport Vietnam.

“Bot-bot tersebut telah dibawa masuk ke jeti Kuala Terengganu bagi penyerahan kepada unit keselamatan negeri untuk dilakukan swab test dan berdasarkan laporan awal, kesemua kru didapati negatif daripada pandemik Covid-19.

“Siasat akan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan tanpa kebenaran, serta bawah imegresen kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Jelasnya, termasuk tangkapan terbaharu, lokap Maritim Negeri Terengganu (MNT) akan menempatkan keselururan 101 nelayan asing yang ditahan baru-baru ini.


Tag: