• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

‘Jangan Sia-siakan Rumah Mampu Milik'

KEMAMAN, 22 September – Penerima Rumah Mampu Milik (RMM) perlu menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu dengan sebaiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, mereka sepatutnya tidak melanggari perjanjian, sebaliknya mendiami kediaman yang diberikan dengan penuh rasa syukur.

“Ramai lagi pemohon di luar sana yang masih menunggu giliran untuk memiliki RMM ini, namun masih belum ada rezeki.

“Tujuan saya menyentuh perkara ini ialah kerana terdapat segelintir penerima sebelum ini yang ingkar perjanjian dan tindakan susulan terpaksa diambil oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Mampu Milik Seri Bandi Kemaman hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tambah Dr. Alias, antara contoh isu penerima yang melanggar perjanjian ialah seperti tidak menduduki rumah tersebut dengan alasan jauh daripada tempat kerja dan tidak membayar sewa sebagaimana jadual.

"Selain itu, penghuni  juga tidak dibenarkan melakukan sebarang pengubahsuaian reka bentuk RMM semasa dalam tempoh sewa-beli.

“Jika bayaran belum selesai, RMM masih milik PMINT yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri,’’ ujarnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut seramai 150 orang pemohon telah diluluskan untuk menerima penyerahan kunci RMM Seri Bandi yang di bina di atas tapak seluas 14.522 ekar dengan jumlah sebanyak 220 unit rumah jenis teres dilengkapi gelanggang serbaguna, tangki air, taman permainan, dan enam lot tapak rumah kedai.

“Harapan saya agar semua penerima dapat memelihara keadaan RMM ini sebaik mungkin dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa serta dapat merancakkan lagi tahap sosio-ekonomi penduduk setempat,”jelasnya.


Tag: