• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Rakyat Malaysia diseru agar tidak takut dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan kawal selia secara menyeluruh demi keselamatan para penerima.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, proses di bawah Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) adalah lebih teliti sebelum diluluskan.

“Ini kerana, Malaysia tidak bergantung kepada pandangan negara lain, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang baru tiba, telah melalui fasa-fasa pengesahan dengan lebih 40,000 ujian klinikal.

“Contohnya seperti di Australia pembikinan vaksinnya diberhentikan serta merta kerana tidak lulus ujian fasa ketiga, maknanya proses pemilihan vaksin perlu dipastikan keberkesanan sebelum melalui proses kelulusan.

“Sekarang, kita bukan lagi dalam fasa ketiga, program vaksinasi sedemikian sedang berjalan di seluruh dunia dengan tahap penerima vaksin sebanyak 200 juta dos suntikan diberi, melibatkan 87 negara pada masa kini,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini

Tambah Ahmad Amzad, vaksin Pfizer-Biontech yang dicipta saintis Islam mempunyai kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.

“Bagi meyakinkan lagi rakyat, suntikan pertama pada 24 Februari (esok) akan diberikan kepada pemimpim iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini sebagai simbol komitmen daripada pemimpin sendiri dan proses yang sama dibuat di peringkat kementerian-kementerian, menteri yang akan menerima suntikan itu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, proses pengedaran vaksin ke 16 pusat simpanan di seluruh negara iaitu di Selangor (enam), Johor (empat) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tiga), Pulau Pinang (dua) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (satu) sedang berjalan.