• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jangan Terkena 'Kejutan Budaya' Di Universiti

DUNGUN, 15 Oktober - Pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian di dalam dan luar negara diingatkan tidak terkena ' kejutan budaya' (culture shock).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, 'kejutan budaya' antara cabaran terbesar para pelajar apabila berjauhan dengan ibu bapa.

"Jangan terjerumus dengan dunia luar sana. Cabaran dan halangan dunia hari ini sangat besar bila berjauhan dari ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan Awal Ke Institut Pengajian Tinggi kepada 62 orang penerima untuk peringkat DUN Paka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, dengan sokongan keluarga dan niat yang betul oleh para pelajar itu sendiri boleh menghalang mereka terjebak dengan budaya yang tidak elok ketika menuntut di universiti.

"Pelajar perlu memperbetulkan niat mereka dalam menuntut ilmu kerana Allah, walaupun mereka mengambil bidang selain agama.

"Sebagai ibu bapa, sokongan daripada kedua orang tua sangatlah penting buat anak-anak yang berjiwa muda ini.

"Sentiasalah bertanya khabar mereka apabila berjauhan terutama dalam bab solatnya, kawan - kawannya dan tentang pelajarannya," katanya lagi.

Selain itu beliau mendoakan kejayaan di dunia dan akhirat untuk para pelajar serta dijauhkan dari perkara yang tidak diingini dan diberikan kekuatan untuk mengatasi segala rintangan yang mungkin mereka hadapi dalam perjalanan menuntut ilmu.


Tag: