• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Jaringan Sulung Syahmi Bantu Terengganu FC Menang Selesa

KUALA NERUS, 16 September - Pemain muda meningkat naik, Muhammad Syahmi Zamri,23, menggamatkan stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila jaringan minit terakhirnya membantu Terengganu FC memiliki bekalan selesa dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC menang 2-0 ke atas Selangor FC hasil jaringan Ivan Mamut dan jaringan peribadi pertama dihasilkan Syahmi buat Terengganu FC.

Seawal minit ke-5, tuan rumah sepatutnya sudah selesa di depan apabila Ivan Mamut yang menerima lorongan Sony Norde berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville.

Sayangnya, penyerang kelahiran Croatia itu gagal membuka tirai jaringan.

Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner terus menguasai perlawanan dengan Ivan sekali lagi mendapat peluang di depan gol lawan pada minit ke-22.

Kali ini, rembatannya ditampan pertahanan kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin.

Gergasi Merah melakukan serangan balas pada minit ke-22, namun rembatan Ayron Rodriguez hanya singgah di sisi gawang.

Pada minit ke-34, Ayron sekali lagi melepasi kawalan pertahan tuan rumah, tetapi rembatannya ditampan penjaga gol, Suhaimi Husin yang telah bersedia di depan gawang.

Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, pemain tengah Sang Penyu, Nurillo Tukhtasinov dijatuhkan Quentin Cheng di dalam kotak penalti.

Ivan Mamut mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk Terengganu FC mendahului 1-0 pada tamat separuh masa.

Memasuki babak kedua, Selangor FC menggandakan asakan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-57, Richmond Boakye-Yiadom menanduk bola hantaran lintang, namun berjaya ditampan Suhaimi.

Sepuluh minit kemudian, penyerang kebangsaan, Faisal Halim melepaskan rembatan dari luar kotak penalti tetapi tidak menepati sasaran.

Memasuki minit terakhir perlawanan, Faisal berjaya melakukan hantaran lintang rendah yang disudahkan Brendan Gan.

Bagaimanapun, Safwan Mazlan berhasil menghalang bola memasuki gawang sebelum diselamatkan Suhaimi.

Serentak itu, serangan balas terakhir dilancarkan Terengganu FC.

Nik Sharif Haseefy melakukan hantaran lintang yang ditanduk kemas Syahmi untuk gol kedua perlawanan, sekaligus memusnahkan harapan Selangor FC membawa pulang sebarang jaringan. 

Keputusan penuh perlawanan menyaksikan Tomislav dan pasukannya membawa bekalan dua gol untuk perlawanan kedua di Petaling Jaya, 24 September nanti.

 


Tag: