• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

JAS Keluarkan 17 Kompoun Kerana Ekzos Bising

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos–Sebanyak 17 kompaun telah dikeluarkan oleh  Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu kepada pemilik motosikal atas kesalahan gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, kompaun itu dikeluarkan sewaktu Operasi Bersepadu Bunyi Bising Kenderaan Motor selama dua hari bermula Ahad lalu mengikut Peraturan 4 (2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan.

Menurut beliau, satu notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan atas kesalahan yang sama.

“Operasi melibatkan Unit Kenderaan Bermotor (UKB) JAS Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.

"Sepanjang operasi ini diadakan, ratusan motosikal pelbagai kategori telah disaring dan diperiksa dengan 30 motosikal menjalani ujian visual manakala 18 motosikal lagi menjalani ujian meter sebelum mengeluarkan 17 kompaun," katanya.

Sehubungan itu, Ramli menasihati pemilik motosikal supaya sentiasa memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan yang baik serta mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Bermotor) 1987, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, terdapat had paras bunyi bising maksimum yang dibenarkan bagi motosikal dengan kaedah pengujian secara statik atau pecutan bebas atau ‘free acceleration’.

"Had bunyi motosikal dengan keupayaan enjin kurang daripada 90cc adalah 92dB(A), manakala bagi 90cc ke atas adalah 95dB(A) bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik yang ingkar.

"Pemilik kenderaan yang didapati melepaskan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000,” jelasnya.