• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Jauhi Pantai Ekoran Fenomena Ombak Besar

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya menghindari kawasan di perairan pantai timur sepanjang musim Monsun Timur Laut ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, ia susulan fenomena ombak besar di beberapa pantai di beberapa daerah termasuk di pantai Miami yang berlaku kira-kira malam tadi.

"Keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 hingga 2.7 meter dijangka akan berlarutan sehingga Rabu (6 Januari) terutama di kawasan Kuala Terengganu.

"Untuk malam ini, kami akan minta pihak polis menutup jalan di sekitar Pantai Seberang Takir kerana kami menjangkakan fenomena yang sama akan berlaku," kata beliau.

Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan pantai sepanjang tempoh itu demi keselamatan mereka.

Dalam pada itu, Che Adam menjelaskan, walaupun kerajaan negeri tidak menganjurkan himpunan sambutan tahun baharu besar-besaran, tetapi keghairahan orang ramai untuk ke dataran drawbridge malam tadi menjadi punca kawasan itu sesak.

"Kami meminta orang ramai yang ingin ke dataran drawbridge malam ini dan esok membatalkan hasrat menggunakan laluan itu kerana boleh membahayakan keselamatan," katanya.

 

 


Tag: