• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jawatan J3K Bukan Suatu Kebanggaan, Tetapi Amanah


Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) perlu menjalankan tugas yang diamanahkan secara adil dan saksama sekali gus tidak menganggap jawatan itu sebagai suatu yang harus dibanggakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, tanggungjawab sebagai J3K adalah satu amanah yang wajib dilaksanakan oleh pemegangnya dengan ikhlas sama ada suka, payah mahupun senang.

"Namun seseorang mesti memikul beban amanah, dan dia mestilah kuat dan beriman supaya ia tidak akan menjadi kehinaan dan penyesalan kepada pemegangnya di akhirat nanti jika gagal menjalankannya,"katanya ketika merasmikan Taklimat Fungsi dan Peranan J3K Daerah Marang.


Seramai 200 orang Pengerusi dan Setiausaha (SU) J3K yang baharu dilantik pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Kamarudin Yaakob, penghulu-penghulu mukim Daerah Marang.

Beliau juga mengingatkan bahawa J3K adalah mata dan telinga bagi kerajaan untuk membantu melicinkan pentadbiran negeri sehingga sampai ke akar umbi dalam memenuhi keperluan rakyat.

"J3K perlu meningkatkan kesabaran, senyum dalam berkomunikasi ketika menguruskan kehendak rakyat kerana kebiasaannya, mereka inginkan penyelesaian yang segera tanpa memahami prosedur kerajaan.

“Berkat hidup yang paling penting ialah dengan memakmurkan masjid, maka Pengerusi, SU dan AJK J3K kena rajin pergi masjid. Kalau boleh sembahyang subuh berjemaah di masjid, kalau tidak boleh setiap masapun kena ada masa lain.

"Jangan pula Pengerusi J3K sampai berbulan-bulan tak nampak di masjid,” tambah beliau sebagai ingatan kepada mereka yang hadir.

Norhayati
Sementara itu, Pengerusi J3K Bukit Jetit, Pengkalan Berangan, Puan Norhayati Mohd Nor, 43, yang merupakan satu-satunya pengerusi wanita tunggal dalam Daerah Marang, berkata, beliau bersyukur kepada Allah S.W.T. dengan pelantikan itu walaupun memahami beban yang bakal diterimanya nanti.

“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberi oleh kerajaan sebagai wakil muslimat di kawasan saya.
Saya akan memastikan pembangunan yang sekata di kawasan saya, masalah sosial dihapuskan dan masalah rumah PPRT yang ada sebahagiannya sudah tidak diduduki oleh generasi kedua kerana sudah keluar dari kemiskinan,” katanya apabila ditanya mengenai perancangan awal sebagai Pengerusi J3K.

Mustafa

Bagi Mustafa Yaakob 52, Pengerusi J3K Paya Resak pula merancang untuk menyegerakan pembaikan sistem perparitan yang sedia ada dan menambah jika perlu bagi menangani masalah banjir di sekitar Kampung Paya Resak.

“Jalan-jalan kampung juga, saya akan memastikan sentiasa dalam keadaan baik dan akan membaiki mana-mana yang telah rosak.

"Buat masa sekarang ini, sejak J3K baru ditubuhkan, kami telah membaik pulih rumah OKU (orang kelainan upaya) dan mengadakan gotong royong membersih kubur di sini,” ujar beliau.


Tag: