• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Jawatankuasa Khas Ditubuh, Lestarikan Setiu Wetland

SETIU, 19 Disember- Kerajaan negeri melalui Majlis Pengurusan Taman negeri mengambil langkah proaktif apabila menubuhkan jawatankuasa khas 'Forest Gardening' dalam usaha memastikan kelestarian Taman Negeri Setiu Wetland terpelihara serta dipulihara dengan sebaiknya.

Jawatankuasa tersebut dianggotai Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Jabatan Perhilitan negeri, Institut Penyelidikan hutan Malaysia (FRIM) serta agensi akademik iaitu  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZa) Kampus Besut.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Sri Bijaya Raja berkata, usaha tersebut bagi memastikan taman negeri yang berkeluasan 1596 hektar daripada keluasan sebenar 23,000 hektar Setiu Wetland itu yang diserikan 10 ekosistem yang saling berhubungan serta dihuni kepelbagaian spesies biologi dapat dikekalkan.

"Walaupun taman ini merupakan sebahagian kecil sahaja, namun aktiviti ini sewajarnya dapat dijayakan melalui kerjasama yang kuat dan padu diantara agensi dan jabatan yang terlibat agar segala ilmu dapat dimanfaatkan serta dipupuk bagi mengekalkan kelestarian sejagat.

"Maka dari itu saya melihat penubuhan 'task force' di bawah pengelolaan Majlis Pengurusan Taman negeri amatlah bertepatan dengan agenda, visi dan juga misi. Semoga dengan wujudnya jawatankuasa ini ia akan berjaya mencapai hasrat menjadikan ia suatu warisan yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi pada masa hadapan," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan Taman negeri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Forest Gardening Taman Negeri Setiu Wetland, di Broadwalk Setiu, Taman Negeri Setiu Wetland, Kampung Pengkalan gelap, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai daerah, Rosli Latif serta Pengarah Majlis Pengurusan Taman negeri, YM Tengku Mohd Arifin Tengku Dato'Rahman.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Ariffin pula berkata penubuhan pasukan khas tersebut merupakan suatu yang penting untuk sentiasa melihat, meneliti serta mencadangkan kepada pihaknya untuk diambil tindakan susulan dalam memastikan alam semulajadi di kawasan tersebut terjaga dengan sempurna.

Mengulas mengenai aktiviti terbabit, katanya ia merupakan suatu aktiviti penyelenggaraan bagi usaha memelihara dan memulihara alam semulajadi dimana aktiviti berkenaan sangat popular di luar negara serta ia sering digunakan.

"Bukan hanya tertakluk kepada aktiviti pembersihan dan penaman semula spesies, tetapi melibatkan aktiviti memangkas, mencabut serta mengalih spesies tumbuhan yang tidak sepatutnya ada ataupun dilihat dalam proses  mendominasi kawasan tersebut.

"Aktiviti yang dijalankan ini bukanlah hanya dijalankan pada ini sahaja tetapi ia akan diadakan secara berkala dan berterusan dimana merangkumi kepada peranan dan tugasan yang telah diselaraskan bersama agensi-agensi terlibat.

"Melalui ini, ia secara langsung telah membentuk semangat kerjasama di kalangan semua pihak ke arah usaha perlindungan dan pengurusan mapan membabitkan kawasan ini," ujarnya.

Untuk rekod, Taman  Negeri Setiu Wetland ini merupakan tanah bencah yang terrbesar di Malaysia yang telah mula diwartakan pada 10 Mac 2018 dimana ia bertepatan dengan Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 yang telah diwujudkan pada 1 Mac 2018.