• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jawatankuasa Khas Ditubuh Tangani Masalah Pembentungan Di Politeknik Dungun

Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN, 20 September - Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan sehingga permasalahan sistem pembentungan yang berlaku di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun pulih sepenuhnya.

Jawatankuasa tersebut akan dianggotai Pejabat Parlimen Dungun, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK) dan PSMZA.

Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat hasil daripada lawatan kerja Pengurusan SPAN, yang diketuai Pengerusinya Wan Hassan Mohd Ramli merangkap Ahli Parlimen Dungun ke politeknik itu, kelmarin.

"Permasalahan timbul sejak sekian lama apabila air kumbahan yang melimpah berhadapan pintu utama Politeknik boleh membahayakan kenderaan yang lalu lalang," ujarnya lagi. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Koperat PSMZA di sini semalam.

Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, SPAN Terengganu, Azamy Abdul Aziz.

Fikri turut melahirkan penghargaan atas lawatan berkenaan yang menggambarkan keprihatinan pihak terbabit terhadap masalah itu.

"Terima kasih kepada pihak SPAN dan Ahli Parlimen atas usaha membantu membaik pulih sistem pembentungan di Politeknik ini," jelasnya.


Tag: