• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Jejak Vaksin' Sasar Penduduk Di Pedalaman

KUALA NERUS, 28 Jun - Dengan persetujuan Jabatan Kesihatan negeri, Program Jejak Vaksin di kawasan pedalaman yang dirancang oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang dipergiat.

Program berkonsepkan 'Pop-Up Centre' itu bertujuan meningkatkan pengambilan vaksin di kalangan rakyat luar bandar.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, badan-badan korporat seperti TDM berhad, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dewan Perniagaan Cina Terengganu dan Persatuan Isteri wakil dan Bekas Wakil Rakyat  Terengganu (Khairunnisa') turut terlibat dalam mencapai imuniti kelompok.

"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ini pada pertama kali beroperasi di Sekolah Kebangsaan Kesom ini menyasarkan seramai 600 orang.

"Ini adalah salah satu usaha dengan jalinan kesemua NGO untuk kita cari rakyat seramai mungkin untuk divaksinasi dan selepas ini akan ada tempat lain yang telah dipersetujui untuk diadakan bagi meneruskan program ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas mengadakan lawatan ke program berkenaan , di Sekolah Kebangsaan Kesom,  di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Unisza, Prof. Dr. Hamry Mohamed Yusoff dalam satu kenyataan berkata pihaknya optimis dapat mengadakan 50 program dalam tempoh enam bulan.

"Dijangkakan lebih 15,000 suntikan dapat diberikan kepada seluruh penduduk yang berada di pedalaman.

"Melalui sukarelawan pasukan terdiri daripada pakar-pakar perubatan, pensyarah kejururawatan, pensyarah farmasi serta ahli farmasi, pelajar perubatan dan kejururawatan. 

"Juga melibatkan pensyarah bukan perubatan daripada fakulti informatik dan komputeraan serta kakitangan sokongan dimana berupaya memberikan suntikan diantara 300-600 orang sehari dan boleh dipertingkatkan berdasar keperluan semasa," ujarnya.

Sehingga kini, katanya program berkenaan telah menerima sumbangan sebanyak RM163,000.

"RM100,000 daripada TDM, juga  daripada Persatuan Khairunnisa sebanyak RM10,000, juga daripada Leeeds Dynamic sebanyak RM3,000.

"Manakala Dewan Perniagaan Cina Terengganu telah menyumbangkan RM50,000 di samping turut menyumbang kepada pemberian barangan alat pakai buang, makanan, air mineral dan sebagainya,"ujarnya.

 


Tag: