• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jelajah Gateh D'Tranung : Nafas Baru Sukan Berbasikal

KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Penganjuran Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 yang akan berlangsung selama lima hari, bermula esok menjadi nafas baru sukan berbasikal di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan, kejohanan yang kembali diadakan itu bakal membuka peluang bakat-bakat baru menyerlah dalam arean berbasikal tempatan dan antarabangsa.

"Penganjuran kali ini merupakan permulaan yang baik kerana ia pertama kali dianjurkan secara dwi tahunan sebagai kejohanan Jelajah Terengganu pada tahun 1984 dan berakhir pada tahun 2011. 

"Kejohanan ini juga bakal menjadi satu titik tolak kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan persatuan serta kelab-kelab basikal untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan ke pasukan negeri mahupun ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Penaja & Pasukan 'Tour Gateh D'Tranung' yang dirasmikan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Kejohanan dianjurkan negeri Terengganu itu selaras salah satu teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Kayuhan Basikal’.

Reputasi Terengganu sebagai antara pengeluar terbesar jaguh berbasikal negara berjaya menarik penyertaan 26 pasukan tempatan termasuk dua pasukan daripada Singapura bagi penganjuran tersebut.

Tour Gateh D'Tranung akan bermula esok dari Pantai Batu Buruk ke Jerteh bagi peringkat pertama. Kejohanan ini akan menamatkan saingan di peringkat keempat yang berakhir di Kemaman pada Khamis ini, sebelum perlumbaan 'Night Criterium' yang akan berlangsung di Drawbridge pada Jumaat malam.

Kejohanan itu boleh disaksikan secara langsung di laman Facebook 'Tour Gateh D'Tranung'.

 


Tag: