Jalur Gemilang
Berita :
Jelajah Jiwa SME Jadi Platform Perkasa Usahawan Tempatan
Jelajah Jiwa SME Jadi Platform Perkasa Usahawan Tempatan
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
24

KUALA TERENGGANU, 11 September- Jelajah Jiwa SME Terengganu 2026 menjadi platform memperkasa usahawan tempatan menerusi pendigitalan, penjenamaan dan inovasi bagi membolehkan produk kraftangan serta industri kreatif Terengganu menembusi pasaran lebih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, penganjuran program berkenaan penting bukan sahaja sebagai ruang mempromosikan produk tempatan, malah membincangkan hala tuju usahawan dan industri kreatif negeri.

“Program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menjadi ruang untuk mempromosikan produk perniagaan tempatan tetapi turut menjadi platform membincangkan masa depan usahawan dan industri kreatif di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Jiwa SME Terengganu 2026 di Mayang Mall, di sini, hari ini. 

Di Terengganu ujar beliau, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berperanan menghubungkan usahawan dengan kerajaan serta pelbagai agensi berkaitan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan lebih banyak produk Terengganu bukan sahaja dikenali di peringkat negeri dan pasaran Malaysia, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Dari Terengganu, biar satu dunia kenal. Itulah semangat yang saya kira sangat sesuai dengan penganjuran Jelajah Jiwa SME pada hari ini,” ujarnya. 

Ariffin berkata, Terengganu mempunyai warisan budaya yang pelbagai termasuk songket dan batik yang mempunyai identiti serta nilai budaya tersendiri.

“Kraftangan bukan sekadar produk, sebalik setiap produk ada identiti dan nilai budaya yang mencerminkan keunikan masyarakat kita.

“Sebab itu usaha memperkukuh kraftangan dan industri kreatif perlu dilihat sebagai usaha menjaga warisan, pada masa sama membuka peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya. 

Ariffin berkata, bidang kreatif tidak seharusnya dilihat sekadar minat atau hobi, sebaliknya perlu dikembangkan sebagai kerjaya dan perniagaan yang mampu diwarisi generasi baharu.

Menurutnya, usahawan perlu meningkatkan kualiti, menambah nilai serta menghasilkan pembaharuan yang menepati cita rasa semasa tanpa menghilangkan identiti asal produk. 

“Kreativiti menjadi jambatan antara warisan dan pasaran moden. Dengan sokongan yang betul, produk kraftangan tempatan boleh mempunyai nilai komersial tinggi dan menarik perhatian pengguna tempatan serta luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata kejayaan usahawan tidak boleh bergantung kepada usaha individu semata-mata, sebaliknya memerlukan ekosistem yang melibatkan kerajaan, agensi, pemain industri, institusi kewangan, platform digital, media dan sektor swasta.

Katanya, usahawan juga perlu diberikan akses kepada ilmu, jaringan pasaran dan peluang yang dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Justeru, beliau berharap Jelajah Jiwa SME dapat membantu lebih ramai usahawan memahami kepentingan menghasilkan produk berkualiti, membina jenama yang kukuh serta menggunakan teknologi dan platform digital untuk meluaskan pasaran.

“Saya menyeru para usahawan supaya terus berani berkembang, jangan takut mencuba perkara baharu dan menggunakan teknologi yang ada serta membawa produk kita ke pasaran yang lebih besar,” katanya.

Bertemakan 'Ekonomi Kreatif dan Kraftangan', program Jelajah Jiwa SME selama dua hari bermula hari ini merupakan penganjuran pertama Jiwa SME di Terengganu oleh Astro Awani dengan Unifi Business sebagai penaja utama.

Pengisian jelajah turut merangkumi Pentas Jual dan CIPTA, selain sesi podcast, bengkel, demonstrasi kraftangan, pameran jualan usahawan tempatan serta pelbagai aktiviti interaktif yang terbuka secara percuma kepada orang ramai. 



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan