• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Jelajah Tunas Gamelan Cungkil Bakat Pelajar

DUNGUN, 7 Disember- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) meneruskan program Jelajah Tunas Gamelan SUKTRA ke Dungun dengan penglibatan 100 pelajar daripada sembilan buah sekolah rendah dan menengah terpilih di daerah itu.

Penganjuran program itu yang merupakan komponen program Senandung Terengganu berjaya menarik minat pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Pasir, SK Kampung Baru, SK Bandar Dungun,  SK Tebing Tembah,  SK Pulau Serai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, SMK Dato' Engku Bijaya Sura, SMK Paka dan  SMK Ketengah Jaya.

Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, pelbagai pengisian menarik dilaksanakan sepanjang program berlangsung.

“Antaranya, pengenalan Gamelan Melayu oleh Adiguru Syahrul Azmi Hassan, demontrasi gerak tari, muzik gamelan dan tarian gamelan oleh mereka yang berpengalaman,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, jelajah yang berkonsepkan penyebaran ilmu dalam bidang gamelan Melayu tradisional itu pastinya mampu mencungkil bakat pelajar di mana sebelum ini ada di antara mereka tidak mengenali langsung apa itu seni gamelan.

“Selain mencapai matlamat pengenalan program-program kebudayaan dan kesenian negeri di bawah penjenamaan Senandung Terengganu sebagai usaha mempromosikan pelancongan di bawah kluster seni budaya warisan negeri. 

“Melalui program sebegini, pelajar akan didedahkan dengan asas seni muzik dan tarian gamelan Melayu termasuk dengan latar belakang sejarah, tokoh, peralatan, instrumentasi, skala & nada, perbezaan antara gamelan Melayu dengan Gamelan Sunda/Bali/Jawa dan lain-lain.

“Turut diperkenalkan lagu-lagu Gamelan Melayu merangkumi aspek keseluruhan lagu & klasifikasi lagu, lagu-lagu yang dinyanyikan (4 lagu), lagu-lagu yang mengiringi tarian (13 lagu), peranan setiap peralatan muzik dan sesi pendengaran secara ringkas,” katanya.

Tambah beliau, setiap peserta turut didedahkan kepada notasi muzik gamelan melayu, memperkenalkan French Cheve System, symbol & tanda-tanda yang digunapakai dalam notasi/skor, buka lagu (intro) & tempo, tenik asas & lanjutan bagi memainkan setiap alatan muzik, teknik / kaedah Melodi cincang dan Turun Gambang.

“Pihak kami tahu apa yang diusaha itu bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan apa itu seni gamelan kepada orang ramai terutama pelajar dan golongan belia.

“Melalui jelajah ini, diharapkan seni gamelan Terengganu dapat diwarisi dan tidak pupus ditelan zaman,” katanya.


Tag: