• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jenayah Rasuah Dalam Negeri Masih Terkawal

KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Berdasarkan statistik dari 2018 sehingga awal tahun ini, jenayah rasuah dalam negeri ini masih terkawal.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Ruslan Che Amad melaporkan, hanya tiga tangkapan dibuat dari Januari sehingga 8 Mac 2021

Katanya, manakala jumlah maklumat tentang aktiviti rasuah yang diterima pihaknya adalah sebanyak 23 aduan, namun aduan tersebut masih belum disahkan lagi.

"Manakala trend tangkapan dari tahun 2018 sebanyak 44 tangkapan menurun kepada 25 tangkapan pada tahun 2019 dan kemudian 55 tangkapan dibuat sepanjang tahun lepas.

"Tangkapan ini kita tidak boleh ambil kira kerana ia masih dalam proses siasatan, jika ditangkap tidak bermakna pelaku itu bersalah, sehingga mahkamah mendapati dia itu didapati bersalah.

"Begitu juga dengan aduan yang diterima suruhanjaya iaitu sebanyak 304 maklumat pada tahun 2018, menurun kepada 213 pada tahun 2019, manakala 211 maklumat diterima pada tahun lepas dan dari awal tahun ini sehingga kini hanya 23 maklumat diterima," katanya kepada pemberita di pejabatnya, pagi semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim.

Tambah Ruslan, sumber maklumat tersebut diterima daripada aduan awam, panggilan telefon, pengadu yang datang ke pejabatnya dan lain-lain lagi di mana ia perlu melalui proses pengesahan bagi tujuan membuktikan kesahihan dan kualiti maklumat tersebut.

"Siasatan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya, info diterima perlu ada asas dan kita tidak mahu maklumat yang dihantar ada unsur-unsur dengki, khianat dan sebagainya," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai jenis kes rasuah dalam negeri, hanya tiga kes utama iaitu melibatkan penjawat awam atau kakitangan awam menerima rasuah (Seksyen 13 A), orang awam memberi atau terima rasuah (Seksyen 17 B) dan kesalahan tuntutan palsu.

"Walaupun agak sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, namun kita akan pastikan unsur-unsur sebegini dikurangkan dalam negeri.

"SPRM akan sedaya upaya bantu kerajaan negeri seperti mana hasrat Menteri Besar dalam mewujudkan Terengganu bebas daripada rasuah dengan mengekalkan integriti tinggi dalam kalangan pegawai kerajaan," jelasnya.