• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

Jenazah Wan Mokhtar Selamat Dikebumikan

SHAH ALAM, 21 September - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, apabila ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad petang tadi.

Jenazah Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam tersebut, pada pukul 3.00 petang.

Sebelum itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 6.20 pagi, kemudian disembahyangkan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, selepas solat Zohor.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang ditemui media selepas upacara pengebumian menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat berjasa kepada negeri Terengganu.

"Allahyarham merupakan antara watak yang memimpin Terengganu suatu masa dahulu, banyak jasanya kepada rakyat dan juga negeri.

"Mewakili kerajaan negeri saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman," katanya.

Turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Sementara itu, anak Allahyarham, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, beliau sempat lagi bercakap dan bergambar bersama Allahyarham semalam.

“Sebagai pemimpin negeri Terengganu, bapa saya membawa kemajuan dalam bidang pendidikan melalui insentif dan bantuan kepada pelajar.

“Bapa saya percaya bahawa pendidikan mampu membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Hasilnya anak Terengganu merupakan di antara tenaga kerja yang berpendidikan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi, nombor empat yang terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, sebagai seorang bapa, Allahyarham seorang yang mementingkan keluarganya.

“Selepas pulang kerja, bapa saya membawa anak-anak ke kebun untuk memberi tazkirah. Apabila waktu solat maghrib, Allahyarham akan memastikan kami solat berjemaah di rumah bersama-sama, termasuk waktu terawih jika ibu boleh sembahyang,” katanya lagi.

Allahyarham yang meninggalkan lima anak merupakan Menteri Besar Terengganu ke-10 dan berkhidmat dari 1974 hingga 1999, menyandang jawatan tersebut paling lama selama 25 tahun. Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005.


Tag: