• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jeti Kampung Mangkuk, Alternatif Terbaharu Ke Pulau Peranginan

SETIU, 24 Oktober - Jeti Kampung Mangkuk adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri yang digazetkan menjadi jeti pelayaran alternatif bagi pengunjung ke pulau-pulau peranginan berdekatan dengan lebih selamat dan mudah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, lokasi jeti sungai di Kampung Mangkuk merupakan jeti terdekat dengan pulau seperti Pulau Redang, Perhentian, Bidong dan Lang Tengah.

“Kerajaan Pusat turut memainkan peranan dalam memperuntukkan kira-kira RM130 juta lebih bagi pembinaan pemecah ombak serta pendalaman muara sungai di sini dan kawasan lain.

“Pembangunan ini bakal meningkatkan jeti ini menjadi pintu masuk bagi perkhidmatan bot River Cruise dan day trip ke pulau-pulau berhampiran yang kini aktif digerakkan oleh pengusaha-pengusaha bot tempatan.

“Pengunjung akan dapat menikmati keindahan Setiu Wetlands dan meneroka hampir ke semua ekosistem Tanah Bencah, dengan sembilan ekosistem yang terbentuk gabungan daripada laut, sungai, pantai berpasir, muara, pulau, lumpur, laguna, paya air tawar dan bakau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Jeti Kampung Mangkuk, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ariffin menceritakan, antara infrastruktur asas yang telah didirikan seperti Medan Ikan Bakar (dibawah Aspire Prominent Sdn. Bhd.) dan Kaunter Informasi (TIC).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Aspire Prominent Sdn. Bhd., Norain Nazmi berkata, pihaknya merancang Kampung Mangkuk sebagai pusat perniagaan yang tidak hanya mempromosikan pelancongan.

“Tempat ini juga mampu memasarkan hasil sumber asli yang terdiri daripada perikanan dan pertanian yang menjadi sumber pendapatan kepada penduduk sekitar Setiu Wetlands," katanya.

Jelasnya, antara projek-projek prasarana yang dirancang seperti penginapan bertaraf sederhana, rumah terapung, outlet peruncitan, restoran dan perkhidmatan bot.

“Projek-projek ini bukanlah usaha baharu, ia adalah usaha bersama untuk meningkatkan sumber pendapatan dan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

“Hasil pembangunan tersebut dijangkakan akan beroperasi secara aktif pada suku tahun kedua 2022 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023,” katanya.