• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jeti TTI Mula Diguna Pelancong Ke Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 17 April-  Taman Tamadun Islam (TTI) buat pertama kali menerima kehadiran penumpang feri  Laguna Redang  Island Resort menggunakan  Jeti TTI untuk ke Pulau Redang pada Khamis lepas.

Pengurus Besar, TTI Management Sdn.Bhd, Ahmad Bukhori Ghazali , berkata pihaknya menganggap kehadiran 118 penumpang untuk hari tersebut dan akan bertambah pada hari seterusnya adalah satu bonus berikutan bukan sahaja memberi sumber pendapatan kepada TTI malah  penduduk sekitar.

Katanya, apa yang penting pastinya Taman Monumen, river cruise dan restoran B’beteng akan terus tersohor  kerana rata-rata penumpang adalah penduduk luar Terengganu.

“Jumlah pelancong kemungkinan akan bertambah mencecah hampir 1,000 orang sehari  berikutan difahamkan penumpang Sejahtera Ferry Services Sdn Bhd akan turut menggunakan jeti sama untuk ke Pulau Redang dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini, pihak sama  menggunakan jeti di Shah Bandar berikutan terdapat masalah teknikal, terpaksa bertukar lokasi sementara iaitu di Pulau Duyong.

“Kini di Jeti TTI selepas mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Laut Negeri Terengganu untuk memulakan trip laluan ke Pulau Redang,” katanya. 

Menurut Ahmad Bukhori , rata-rata penumpang  mengakui  trip laluan baharu  lebih selesa dan selamat berbanding lokasi lama di mana tidak perlu berdepan kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat tempat letak kenderaan.

“Pihaknya  sudah lama memohon pihak berkaitan menggunakan Jeti TTI, namun beberapa kali tertangguh kerana perlu melalui beberapa prosedur, termasuk berkaitan kesesuaian kedalaman sungai,” katanya.