• 13 Apr 2024 | 4 Syawal 1445

JHEAT Bantu Urusan Perkahwinan Masyarakat Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turun padang dengan mengadakan Klinik Khidmat Nasihat Kekeluargaan Islam dan Nikah Cerai Rujuk (NCR) di Pulau Perhentian di sini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Undang-Undang Keluarga) JHEAT, Moktar Salleh berkata inisiatif turun padang itu diambil kerana mendapat maklumat bahawa masyarakat Pulau agak sukar untuk ke pejabat agama daerah sekiranya ada masalah keluarga dan terdapat kemusykilan berkaitan nikah, cerai dan rujuk.

Katanya, mereka lebih gemar bertanya kepada orang sekelililing dan menjadikan mereka sebagai rujukan sedangkan ada antara mereka telah memberikan maklumat yang salah kepada mereka dan mereka berpegang kepada pemahaman yang salah tersebut.

“Klinik kaunseling dan khidmat nasihat kekeluargaan Islam ini diadakan bertujuan bagi memberi pemahaman dari segi hukum dan juga undang-undang kekeluargaan sekali gus mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.

“Antara masalah yang dikenalpasti adalah ada yang beranggapan bahawa isteri yang melakukan tuntutan cerai tidak dapat buat tuntutan nafkah anak sehinggalah anak membesar tanpa nafkah daripada bapa,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Moktar, pihak JHEAT juga telah membuka booth khidmat nasihat selama dua hari iaitu pada 19 hingga 20 MAC bermula jam 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Di samping, aktiviti malam diselitkan dengan kuliah maghrib dan pengisiannya berkaitan kekeluargaan serta isu nikah, cerai dan rujuk berdasarkan hukum dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Terengganu.

Moktar Salleh berkata JHEAT juga membantu penduduk yang ingin berkahwin melalui isi borang perkahwinan, pendedahan ilmu perkahwinan dan sebagainya.

Selain itu, ada juga mereka yang mendapat kefahaman salah mengenai perkahwinan ibu hamil luar nikah adalah tidak sah.

"Apabila kefahaman salah ini merebak, maka tertangguh perkahwinan yang perlu disegerakan.

"Perkara ini menyebabkan si ibu melahirkan anak tanpa ditemani suami dan seterusnya berlaku pengabaian tanggungjawab terhadap anak kecil yang tidak berdosa. 

"Pihak JHEAT berharap masyarakat tidak memulau apabila berlaku kes sebegini," katanya.

Begitu juga, pihak keluarga terutamanya wali dapat memberi kerjasama supaya perkahwinan ini dapat disegerakan agar perkara yang lebih utama perlu difikiran iaitu menyelamatkan anak tidak berdosa daripada terhukum sama dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata, sepanjang program ini diadakan masyarakat Pulau Perhentian memberikan maklum balas dan kerjasama yang baik ditunjukkan oleh mereka.

“Antara pengisian yang diadakan adalah Klinik Kaunseling Kekeluargaan Islam, Soal Jawab NCR, menyantuni penduduk Pulau Perhentian Kecil dan Turun Padang ke rumah penduduk dan Klinik Kesihatan.

“Program ini anjuran bersama JHEAT dan Pejabat Agama Daerah Besut dan Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Pulau Perhentian Kecil,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: