KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara keirin dan gangsa bagi acara pecut pada siri pembukaan UCI Track Nations Cup yang berlangsung di Perth, Australia.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan tersebut membuktikan keazaman, disiplin serta semangat juang tinggi yang dimiliki oleh atlet kelahiran Terengganu itu sehingga mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
"Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi beliau yang menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Dedikasi yang ditunjukkan bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi kebanggaan rakyat Terengganu khususnya," jelasnya dalam laman sosialnya, semalam.
Justeru itu, beliau berharap kejayaan yang diraih Azizulhasni akan menjadi pemangkin semangat untuk mencipta lebih banyak kemenangan pada kejohanan akan datang.
Sekali gus katanya, mengangkat martabat sukan negara di peringkat dunia.
"Semoga kejayaan ini terus menyuntik semangat untuk melakar lebih banyak kemenangan di pentas antarabangsa, seterusnya mengangkat martabat sukan negara.
"Tahniah sekali lagi dan teruskan mengayuh dengan penuh gemilang," tambah beliau.
Tag :