• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jijoe, 'The Komodo' Serikan Karnival TMBS

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang dan bekas pemain nombor satu skuasy lelaki kebangsaan, Muhammad Nafiizwan Adnan atau lebih dikenali sebagai 'The Komodo' sepanjang kariernya, hadir menyerikan Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) di MAEPS Serdang, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan perasmian majlis, sempat menjemput kedua-dua atlet berkenaan untuk menyampaikan ucapan di pentas utama.

"Pada kesempatan ini, saya hendak buat sesuatu yang berbeza. Bagi mengiktiraf peranan mereka yang telah menaikkan nama negeri Terengganu,bukan sahaja di persada negara, bahkan di persada dunia dan antarabangsa.

"Ramai sebenarnya yang telah bertanggungjawab menaikkan nama Terengganu dan dua daripadanya berada di sini bersama tuan-tuan.

Bagi pihak pemain-pemain dari negeri Terengganu yang mewakili negara dan berada di persada antarabangsa, saya beri kesempatan kepada mereka untuk bercakap sepatah dua dan mengucapkan selamat hari raya kepada tuan-tuan," katanya.

Kehadiran kedua-dua ikon sukan tempatan itu menarik perhatian sekitar 10,000 pengunjung yang hadir.

Pada kesempatan itu, Azizulhasni sempat berpesan kepada para hadirin supaya sentiasa mengangkat nama Terengganu.

"Saya sebenarnya baru lepas berlumba, semalam. Dato' Seri (menteri besar) telefon saya menjemput hadir bersama rakyat Terengganu hari ini.

"Ini pertama kali saya menghadiri majlis hari raya anak Terengganu di perantauan.

"Sedikit nasihat saya, walaupun kita berada di mana sahaja, di Australia atau United Kingdom, jangan lupa menabur bakti kepada negeri tercinta ini," katanya.

Atlet kelahiran Dungun itu baru segar dengan kemenangan pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Nilai, semalam.

Manakala, Nafiizwan yang merupakan pemain Malaysia pertama memenangi pingat individu dalam Sukan Komanwel apabile memenangi pingat Perak pada 2018 di Australia, kini menabur bakti sebagai jurulatih skuasy kebangsaan.

 


Tag: