• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'

MARANG, 13 Jun - Begitulah luahan seorang ibu kepada salah seorang banduan yang dipilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Marang, hari ini.

Aminah (bukan nama sebenar), 70, menyifatkan pelepasan anaknya, Amar (bukan nama sebenar), 35, sempena Hari Raya Aidiladha ini sebagai satu kegembiraan besar buat dirinya dan keluarganya.

"Anak kita kan? siapa lagi hendak terima? Kita kasihankan dia, dia cacat dan jadi begini pula. 

'Terimalah, marah tidak marah pun, hendak macam mana?," katanya yang hadir menerima penyerahan perintah (Lesen PBSL) bersama suaminya, Amin.

Tambah beliau, anak keenam dari lapan beradik itu ditahan buat kali kedua di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan dihukum penjara selama lima bulan, sebelum ini dijadualkan bebas pada bulan Julai. 

"Lepas pada dia buat lagi, kita berusaha macam-macam dah. Rasa susah dah, ingatkan tidak boleh berjalan tiadalah berulang lagi. Tapi, tidak boleh berjalan pun orang hantar," ujarnya.

Dalam pada itu, Amar yang hilang kaki kirinya dalam kemalangan pada tiga tahun lalu, terharu dengan kehadiran ibu bapanya.

"Saya rasa terharu dan sedih. Insya-Allahlah (akan berubah).

"Dahulu (tahun 2016), saya (kena) dalam enam bulan. Sebelum ini, ada kaki lagi. Untuk uruskan diri itu, sukarlah sedikit pakai tongkat, (kena) berdikarilah.

"Saya bercadang cari bantuan kaki palsu (dan) cari kerja. Pelihara lembu ke," katanya.

Beliau merupakan salah seorang dari 118 banduan yang dilepaskan melalui program PBSL di Penjara Marang yang disempurnakan Pengarah Penjara Terengganu PKK Hamid Taha pada pagi ini.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: