• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JKKK Bakal Miliki Sijil Tadbir Urus Desa


Ismail Sabri dan Ahmad Razif bersama kepimpinan JKKK pada Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Infra-UniKL Zon Timur dan Pelancaran Tatacara Pengurusan JKKK di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus. Foto Zulkifli Putra 

Seramai 16,500 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), termasuk kepimpinan masyarakat Orang Asli di seluruh negara bakal memiliki Sijil Tadbir Urus Desa sebagai usaha meningkatkan ilmu pengurusan desa secara profesional.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, kursus anjuran kementeriannya itu bertujuan memastikan mereka yang terlibat dalam pentadbiran kampung adalah setaraf dengan pegawai di jabatan kerajaan.

Katanya, buat permulaan seramai 3,500 Pengerusi JKKK dikehendaki mengikuti kursus bagi mendapatkan Sijil Tadbir Urus Desa yang dikeluarkan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL).


“Program sama akan diadakan secara berperingkat-peringkat, kemungkinan peringkat kedua dengan jumlah yang sama dianjurkan pada Ogos dan selebihnya pada tahun hadapan.

“Kita turut memberi keutamaan kepada golongan itu untuk mengikuti modul sama di peringkat diploma sebagai usaha menambah ilmu, kemahiran dan perkembangan semasa,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Infra-UniKL Zon Timur dan Pelancaran Tatacara Pengurusan JKKK di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamed.

Seramai 700 kepimpinan JKKK dari Terengganu, Pahang dan Kelantan hadir mengikuti kursus selama tiga hari, berakhir hari ini.

Program itu adalah kesinambungan siri kursus Sijil Tadbir Urus Desa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLWW) kepada kepimpinan JKKK  mengikut zon-zon iaitu Zon Tengah, Timur, Utara, Sarawak dan Sabah.

Tag: