• 17 Jan 2021 | 3 Jamadil Akhir 1442

JKM Kenal Pasti 568 PPS Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Sebanyak 568 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di seluruh negeri itu telah disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengarahnya, Zuhami Omar berkata daripada jumlah itu, 151 PPS terdapat di Besut dengan kapasiti 14,390 orang diikuti 99 PPS di daerah Hulu Terengganu (12,060 orang) dan Kemaman (73 PPS untuk 41,800 orang).

“Sementara itu, sebanyak 73 PPS di Dungun pula boleh memuatkan 16,205 orang, 73 PPS di Setiu berkapasiti 18,050 orang, Marang (51 PPS untuk 13,050 orang), Kuala Nerus (24 PPS untuk 10,070 orang) dan Kuala Terengganu (24 PPS untuk 9,420 orang).

"Kami sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi sesuai dijadikan PPS kerana dalam situasi pandemik Covid-19 ini, penting untuk amalkan jarak fizikal di setiap PPS nanti dan jumlahnya akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Rabu ini," katanya kepada pemberita, semalam.

Zuhami berkata beberapa lokasi tambahan juga sudah dikenal pasti untuk dijadikan PPS bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelasnya, ia melibatkan premis berkapasiti besar, sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti.

Sementara itu, Zuhami berkata, pihaknya sedang mengagihkan barangan keperluan dan makanan untuk kegunaan mangsa banjir di semua 17 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan di seluruh negeri itu.

"Semua barangan ini dijangka selesai dihantar pada minggu depan. Bagi bekalan untuk Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Kampung Pasir Raja di Dungun pula, penghantaran akan dilakukan sebelum Rabu ini (21 Oktober).

"Ia mencukupi untuk tempoh dua minggu, namun sekiranya berlaku situasi luar jangka (banjir semakin buruk dengan pertambahan mangsa), kita akan dapatkan bekalan barangan ini dari beberapa pasar raya.

"Terdapat sekurang-kurangnya lima pasar raya di setiap daerah yang boleh menghantar bekalan barangan keperluan ini dalam situasi mendesak," katanya.
 


Tag: