MARANG, 15 Januari - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang sedang mengesan ibu kandung serta waris kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun satu bulan yang kini berada di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Amizan Che Aziz berkata, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan berkenaan selepas Mahkamah Majistret Marang mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 30(1)(c) dan Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 27 Mac 2024.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan ditemukan ketika masih bayi pada 21 November 2022 kira-kira jam 6.40 pagi di Kampung Sentul Patah, di sini, selepas orang awam terdengar tangisan bayi di tangga sebuah rumah.
“Bayi lelaki itu dijumpai dalam keadaan dibaluti kain tuala putih dan masih beruri sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, bayi berkenaan pada awalnya dijaga di institusi kelolaan JKM selama kira-kira satu tahun empat bulan sebelum ditempatkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai demi kebajikan serta kesejahteraannya.
Katanya, usaha mengesan ibu kandung dan waris dilakukan bagi mendapatkan maklum balas sebelum mahkamah mengeluarkan Kebenaran Pengangkatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris kanak-kanak berkenaan diminta menghubungi Pelindung JKM Daerah Marang, Puan Rafatini Mohd Rawandi di talian 09-618 2350.