• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JKNT Giat Pantau Produk Kesihatan

KUALA TERENGGANU, 12 Mei- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu sedang giat menjalankan pemantauan ke atas produk-produk kesihatan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, bagi memastikan pemantauan tersebut berjalan lancar,  Program Gerak Gempur Cakna Ubat dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Techno Secure Print Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat kontrak pembekal label keselamatan hologram bagi produk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

"Kerjasama ini diharapkan dapat mendidik pengguna-pengguna produk kesihatan agar lebih peka tentang penggunaan atau penjualan produk yang berdaftar dan kosmetik bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, JKNT telah menjalankan 121 operasi serbuan ke atas pelbagai jenis premis yang beroperasi menjual secara dalam talian produk yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM membabitkan 1,287 jenis produk dan kosmetik, " ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, jumlah rampasan produk-produk adalah bernilai lebih RM1,100,000 bagi tahun 2020 hingga 2021.

"Berbanding pada tahun 2018 hingga 2019, sebanyak 120 operasi serbuan telah direkodkan membabitkan 1,814 jenis produk dan kosmetik bernilai RM 2,146,754," jelasnya.

Menurut Kasemani, terdapat peningkatan ketara dalam aspek penyaringan iklan perubatan sepanjang PKP berlangsung berbanding sebelum PKP, iaitu 1,238 penyaringan iklan berbanding 670 penyaringan yang dijalankan sebelum PKP.

"Produk-produk tidak berdaftar seperti ubat perangsang seks yang sering mendapat permintaan tinggi sangat memberi risiko yang tinggi terhadap kesihatan pengguna memandangkan kebanyakan produk sebegini turut dicampur palsu dengan racun berjadual seperti sildenafil, " ujarnya.

Katanya, pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM boleh disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. 

"Jika sabit kesalahan hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya," ujarnya.

Beliau berkata, JKNT mengingatkan agar orang awam supaya tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan KKM. 

" Selain itu, orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang https://npra moh.gov.my 1 atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400, " jelasnya.