• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JKNT Keluarkan 2,426 Kompaun Bernilai RM2.9 Juta Sejak Awal 2021

KUALA TERENGGANU, 3 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sebanyak 2,426 kompaun bernilai lebih RM2.9 juta hasil pemeriksaan dan operasi ke atas 117,101 premis di seluruh negeri sejak awal tahun ini sehingga 1 November.

Pengarahnya, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 1,234 kompaun bernilai RM142,300 dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dengan notis tertinggi dicatatkan di Dungun (347) notis.

“Sementara itu, sebanyak 1,083 kompaun bernilai RM2.7 juta dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit melibatkan kesalahan seperti tidak menggunakan aplikasi mudah alih MySejahtera ketika memasuki premis, tiada penjarakan fizikal dan tiada topeng muka.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 109 kompaun dengan nilai RM34,500 dikeluarkan melibatkan pekerja tidak memakai apron atau kasut lengkap dan tidak mempunyai sijil suntikan anti-tifoid yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan “Ops Gomo Asap Pagi” di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, semalam.

Tambahnya, pihaknya bertindak selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

“Sehubungan itu, JKNT telah merangka operasi khas iaitu Ops Gomo Asap bagi negeri Terengganu yang berfokus kepada larangan merokok di tempat makan,” katanya lagi.

Terdahulu, Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi berkaitan merokok di premis makanan dengan sejumlah 652 notis sehingga 24 Oktober tahun ini menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.