• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JKNT Keluarkan Kompaun RM18,000 Kesalahan Merokok, Langgar SOP

KUALA TERENGGANU, 2 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi ‘Ops Gomo Asap Pagi’ telah mengeluarkan kompaun sehingga RM18,000 dalam sebuah aktiviti penguatkuasaan larangan merokok sertra pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat makan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata, usaha tersebut dijalankan bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan peraturan larangan merokok terutama di tempat makan dipatuhi.

“Dengan kelonggaran ekonomi dan aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan, masalah merokok di tempat sebegini kembali meningkat dalam negeri.

“Terdahulu, ‘Ops Gomo Asap Pagi’ pada 28 Oktober lalu telah melibatkan 33 anggota dengan 69 premis berjaya diperiksa, 26 kesalahan telah dikesan dan semua kesalahan dikeluarkan kompaun dengan nilai RM6,750.00.

“Pada operasi hari ini, 51 premis melibatkan 47 pegawai penguatkuasa daripada lima daerah telah mengeluarkan lapan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bernilai RM2,000,” katanya.

Tambahnya, tujuh daripada kesalahan tersebut melibatkan kedai makan dan satu premis yang tiada tanda larangan merokok.

“Kita turut mengeluarkan enam kompaun di bawah pematuhan SOP bernilai RM9,000 di mana kesalahannya seperti pengunjung tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

“Turut bersama, penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengeluarkan satu kompaun (RM250) atas kesalahan berniaga lesen menjadikan jumlah keseluruhan kompaun pagi ini sebanyak RM11,250.

“Penguatkuasaan ini selaras dengan pewartaan kawasan larangan merokok di bawah peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 serta SOP fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” jelasnya lagi.

Tambah Kasemani, penguatkuasaan juga akan dibuat jika terdapat kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti pekerja tidak memakai apron lengkap, tidak berkasut dan tidak mempunyai sijil suntikan anti typhoid yang sah.

“Diharapkan dengan adanya operasi ini, perokok tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok dan memberi peluang kepada golongan tidak merokok menghirup udara yang bebas asap rokok sewaktu menikmati makanan di premis-premis makanan,” ujarnya.