• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

JKNT Rekod Lima Kes Strok Haba dan Kelesuan Haba

KUALA TERENGGANU, 2 Mei -Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan lima kes berkaitan cuaca panas sehingga April tahun ini.

Pengarahnya, Dato Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes membabitkan strok haba dan dua kes kelesuan haba telah dilaporkan di Terengganu.

" Ia melibatkan dua  orang anggota beruniform, seorang pekerja ECRL, seorang kanak-kanak sekolah, dan seorang warga emas.

"Sebanyak tiga kes telah sembuh dan dua kes lagi masih dirawat di hospital. Tiada kematian dicatatkan setakat ini,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui.  

Beliau berkata, golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

"Selain itu, segera dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.

"Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas," ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung, dan lain-lain aktiviti ketika gelombang haba sehinggalah keadaan kembali reda.

Katanya, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Berdasarkan laporan cuaca panas daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa daerah di negeri Terengganu pernah berada di Tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga dengan suhu harian tertinggi antara 35-37°C iaitu Besut, Setiu, Dungun, dan Kemaman. 

Manakala daerah lain adalah dalam suhu biasa iaitu kurang 35°C dengan suhu harian tertinggi antara 32-34°C.