• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

'Jom Baca Bersama 10 Minit' Pupuk Minat Membaca Dalam Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 22 April- Program 'Jom Membaca Bersama 10 minit' yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) merupakan usaha untuk menarik dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat di negeri ini agar ia dijadikan amalan yang berterusan.

Program bertemakan 'Bangkit Baca dan Bersyukur' itu juga berupaya mengamit kembali rakyat mengunjungi perpustakan yang selama ini menjadi tempat untuk mengakses pelbagai ilmu.

Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata, kempen itu diadakan serentak di seluruh perpustakaan dalam negara.

"Saya yakin dan pasti semua rakyat di seluruh Malaysia akan mengambil kesempatan untuk menyertai aktiviti ini yang menjadi simbolik ke arah mewujudkan budaya membaca dan kembali aktif mengunjungi perpustakaan bagi mendapatkan bahan bacaan bermanfaat.

"Bila dah ke fasa endemik ini kita sama-sama bersyukur dan bangkit bersama mengamalkan budaya membaca, peringkat perpustakaan juga telah merancang dan mengatur pelbagai aktiviti untuk dimanfaatkan sepanjang tahun ini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program yang telah disempurnakan perasmiannya oleh isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman di Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam negeri, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut katanya, program yang dihadiri 300 peserta itu juga diadakan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April pada setiap tahun.

"Sempena hari ini juga ia memberi peluang kepada peminjam-peminjam buku perpustakaan untuk memulangkannya semula tanpa dikenakan denda walaupun terlewat, di mana sepanjang tempoh pandemik ramai peminjam gagal menghantar semula buku mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

"Hampir RM2 juta diperuntukkan untuk menambahkan jumlah buku. Jadi gunakan peluang untuk kembali aktif mengunjungi perpustakaan,"ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Faizah berpandangan bahawa sambutan yang diadakan itu sangat efektif serta menjadi suatu inisiatif sangat baik dalam memastikan amalan membaca menjadi budaya rakyat di negeri ini.

"Dengan amalan murni ini dijadikan pembudayaan ia akan melahirkan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dimana mereka akan mempunyai minda yang kreatif dan aktif serta mampu berinovasi selain melahirkan warganegara yang berkebolehan dalam melihat sesuatu perkara daripada pelbagai perspektif yang berbeza.

"Ini kerana melalui pembacaan ia menjadi teras pencarian ilmu dan membangunkan bakat, kebolehan serta berdaya saing dari segi fizikal dan intelektual untuk kemajuan negara, Pak Hamka pernah berpesan membaca buku yang baik beerti memberi makanan yang baik kepada rohani," ujarnya.

 

 


Tag: