• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jom Heboh : Terengganu Cipta Sejarah, Rakyat Bangga

KUALA NERUS, 10 Oktober – Terengganu mencipta sejarah baharu dalam penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober di Gong Badak baru-baru ini, apabila menampilkan konsep berbeza berbanding kebiasaan sekali gus mendapatkan pujian seluruh rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat kagum dengan penganjuran KJH kali ini kerana menampilkan pengisian ilmu serta persembahan mendidik jiwa bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul tidak sebagaimana sebelum ini yang dilihat agak tidak selari dengan syariah.

Salah seorang pengunjung, Nurul Farhanah Mohd Zawawi berkata, kawalan serta ketetapan yang menjadi garis panduan sepanjang KJH berlangsung membuka mata banyak pihak.

Katanya, apa yang menarik selain pihak polis dan pasukan sukalarelawan membuat kawalan sepanjang program, Bahagian Penguatkuasa Syariah turut bertugas ketika penganjuran bagi memastikan pengunjung mematuhi garis panduan hiburan ditetapkan kerajaan negeri.

“Waktu sampai tadi ada pengumuman daripada orang pentas bahawa kedudukan diasingkan dengan perempuan di sebelah kanan, lelaki kiri dan keluarga di bahagian depan.

“Setakat berada di sini, saya suka tengok suka artis persembahkan lagu keagamaan seterusnya menghormati Maulidur Rasul,” katanya ketika ditemui dalam Akustika Malam Cinta Rasul sempena Karnival Jom Heboh di Kompleks Sukan Gong Badak, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Syakir Mohamad teruja melihat program yang dianjurkan berlainan dengan Karnival Jom Heboh di tempat lain.

“Saya beranggapan negeri lain sepatutnya mencontohi kerajaan Terengganu dalam menyediakan garis panduan dalam berhibur.

“Pengisian daripada pendakwah yang diselangi persembahan lagu itu sudah menjadi kelainan. Sesetengah orang kata Jom Heboh melalaikan, tapi kita lihat di sini bukan begitu,” ujarnya.

Ahmad Syakir yang berasal dari Tok Jiring turut menzahirkan penghargaan buat pihak kerajaan serta penganjur kerana menjadikan KJH sebagai model program yang baik.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menyatakan program anjuran Media Prima Berhad di Terengganu mendapat sokongan kerajaan negeri dalam bertujuan menawarkan hiburan Islamik patuh syariah.


Tag: