• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

JPJ Terengganu Rintis Kempen Advokasi Untuk Kesedaran Food Rider

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menjadi perintis bagi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada Penunggang Pesanan Makanan 'Food Rider' di negeri ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pelaksanaan kempen itu bertujuan untuk menyedar dan memastikan penghantar makanan dalam talian mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

“Keduanya, memberi kaedah-kaedah yang betul dan cara membawa barangan (kotak) dibelakang dengan peraturan termasuk saiz yang dibenarkan.

“Dan seterusnya memberi kesedaran  tentang pentingnya pematuhan terhadap peraturan jalan raya yang mana hasil pemantauan secara berterusan, 'Food Rider' ini  kebanyakannya gagal mematuhi lampu isyarat.

“Kegagalan mematuhi peraturan-peraturan ini boleh memberi kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada penunggang itu sendiri, sekiranya disaman boleh dikenakan tindakan lesen digantung dan mereka boleh kehilangan pekerjaan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada ' Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini.

Tambah Zulkarnain, Food Rider perlu pastikan menggunakan motosikal yang berdaftar dan mempunyai perlindungan insuran serta mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu yang masih berkuatkuasa.

Untuk rekod, seramai 449 Food Rider yang berdaftar di negeri di bawah tiga syarikat pengendali makanan dalam talian  iaitu Food Panda, Grab Food serta Oda Food dan dari jumlah ini seramai 190 Rider yang aktif.

Purata pendapatan mereka mampu mencecah RM600 seminggu yang dibayar secara mingguan serta mendapat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).