• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan

BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN).

"Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini.

Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan.

"Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya.

Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit.

"Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK.

"Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau.

Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.